Memaparkan catatan dengan label Kesalahan Tatabahasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kesalahan Tatabahasa. Papar semua catatan

Isnin, 28 Oktober 2019

Untuk, Demi dan Bagi

Kata Sendi Nama

1. Untuk
(biasanya digunakan sebelum kata nama)
(a). Menunjukkan kegunaan sesuatu/manfaat.

     Contoh: 
  • Rumah untuk anak-anak yatim Sri Petaling sedang dibina.
  • Baju-baju terpakai yang dikumpulkan itu adalah untuk mangsa-mangsa banjir di Kelantan. 
(b). Menunjukkan tujuan. Diletakkan di depan kata kerja.
(lazimnya kata sendi 'bagi' lebih sesuai digunakan di depan kata kerja)
    Contoh:
  • Pasukan hoki itu berlatih dan bekerja keras untuk mendapat kejayaan.
  • Bukan mudah untuk menjadi pelajar terbaik dengan hanya membaca buku.
 (c). Menyatakan bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan. Dalam hal ini, kata sendi 'untuk' tidak boleh ditukar ganti dengan kata sendi 'bagi'.
Contoh:
  • Rumah ini untukmu.
  • Rumah ini bagimu.
  • Ahmad membeli kereta untuk Julia.
  • Ahmad membeli kereta bagi Julia.
  • Untuk siapakah jambangan bunga itu?
  • Bagi siapakah jambangan bunga itu?

2. Bagi - Biasanya digunakan di depan kata kerja.
- Menunjukkan sebab sesuatu perbuatan itu dilakukan oleh kata nama dalam ayat itu.
- Boleh ditukar ganti dengan kata sendi 'untuk' dalam keadaan tertentu. 
    Contoh:
  • Pasukan hoki itu berlatih dan bekerja keras bagi mendapat kejayaan.
  • Bukan mudah bagi menjadi pelajar terbaik dengan hanya membaca buku.
3. Demi

(a). Membawa makna tujuan
    Contoh:
  • Rakyat Malaysia mesti bekerja keras demi kemajuan negara.
  • Demi memelihara alam sekitar, marilah kita berganding bahu menyelesaikan masalah ini.
(b). Sebagai penegas

    Contoh:
  • Demi Tuhan, aku bersumpah tidak akan ke sana lagi.
  • Bertaubatlah demi kebaikan keluargamu.

(c). Kata sendi 'demi' tidak perlu digunakan bersama kata sendi 'untuk'.
     Contoh:
  • Semua kaum perlu bertoleransi demi untuk perpaduan negara.
  • Semua kaum perlu bertoleransi demi perpaduan negara.(Betul)
  • Semua kaum perlu bertoleransi untuk perpaduan negara.(Betul)

Khamis, 6 April 2017

Ejaan Bercantum

Selain kata majmuk yang telah mantap, terdapat sejumlah perkataan dalam golongan kata tertentu yang dieja bercantum.

Contoh:

peribadi
peribahasa
dinihari
perikemanusiaan
sukacita
dukacita
kepada
daripada
apabila
manakala
padahal
kadangkala
darihal
barangkali
apakala
walhal
beritahu
adakala
senjakala
prihatin

Kata Nama Majmuk - Mantap

- Ada sebilangan kecil kata majmuk yang penggunaannya dianggap telah mantap sebagai satu perkataan.

- Walaupun ia mengandungi dua kata dasar tetapi kata majmuk ini dieja bercantum.

Contoh:

antarabangsa
bumiputera
jawatankuasa
kakitangan
kerjasama
olahraga
matahari
setiausaha
sukarela
suruhanjaya
tandatangan
tanggungjawab
warganegara
pesuruhjaya

Jumaat, 18 Mac 2016

Ialah dan Adalah

Ialah

1. Kata pemeri 'ialah' hadir di hadapan frasa nama.

2. Ia digunakan apabila ayat itu menunjukkan definisi.

3. Ia menghubungkan subjek dan predikat yang mempunyai makna yang sama, oleh itu subjek dan predikat boleh bertukar tempat.

4. Kata pemeri 'ialah' boleh digunakan di hadapan kata komplemen 'bahawa'.

5. Kata pemeri 'ialah' boleh digunakan di hadapan kata hubung 'yang' yang berfungsi sebagai frasa nama.

6. Kata pemeri 'ialah' juga boleh digunakan di hadapan frasa kerja yang berfungsi sebagai frasa nama.

Adalah

1.  Kata pemeri 'adalah' hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.

2. Ia menghubungkan subjek ayat dan predikat ayat dengan memberi huraian lanjut berkenaan subjek yang disebut sebelum itu.

3. Kata pemeri 'adalah' menunjukkan penerangan.

4. Kata pemeri 'adalah' tidak boleh diikuti oleh kata kerja.

Nota:
Kata pemeri 'ialah' dan 'adalah' tidak boleh digunakan bersama kata nafi, kecuali dalam bentuk 'adalah+ kata nafi 'tidak'+ frasa adjektif.'
Penggunaan kata pemeri amat terhad dan kurang digalakkan dalam pembentukan ayat. Malah dalamsesetengah ayat ia dapat digugurkan tanpa menjejaskan maksud ayat itu.

Contoh:

Bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia.(Tidak tepat)
Bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia. (Tepat)
Salah satu bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia ialah Bahasa Melayu. (Tepat)

Angin adalah udara yang bergerak.(Tidak tepat)
Angin ialah udara yang bergerak.(Tepat)
Udara yang bergerak ialah angin.(Tepat)


Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan.(Tepat)

Berita itu adalah benar.(Tepat)

Arahan itu adalah daripada ketua pengarah.(Tepat)

Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.(Tidak tepat)
Dengan ini diberitahu sekolah akan ditutup esok.(Tepat)

Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Haji jatuh pada hari Rabu.(Tidak tepat)
Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Haji jatuh pada hari Rabu. (Tepat)

Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu. (Tidak tepat)
Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.(Tepat)

Lembu yang akan disembelih esok ialah yang bertanduk runcing itu. (Tepat)

Perlakuan anaknya yang sering menimbulkan kemarahannya ialah bercakap bohong.(Tepat)

Adalah dimaklumkan anda berjaya dalam temu duga itu. (Tidak tepat)
Dengan sukacitanya dimaklumkan anda berjaya dalam temu duga itu.(Tepat)

Setiap penyertaan adalah tertakluk pada kelulusan pihak sekolah. (Tidak tepat)
Setiap penyertaan adalah tertakluk pada kelulusan pihak sekolah. (Tepat)

Kelayakan akademik ialah/adalah bukan syarat utama jawatan itu.(Tidak tepat)
Kelayakan akademik ialah/adalah bukan syarat utama jawatan itu.(Tepat)

Kehadiran kamu ke mari adalah tidak sesuai pada masa ini.(Tepat)

Bakal dan Akan

Bakal

1. Merujuk kepada status 'yang akan menjadi' contoh isteri, suami, presiden, ketua dll.

2. Memberi erti calon.

3. Perkataan 'bakal' sentiasa diikuti kata nama.

Akan

1. Bermakna bagi, buat, pada, untuk.

2. Menyatakan sesuatu kemungkinan(hendak terjadi sesuatu).

3. Menyatakan jangkaan tentang sesuatu (kejadian, perlakuan, perkembangan, dll). Dijangkakan. Merujuk kepada keadaan sesuatu.

4. Bermakna adapun, perihal, mengenai, tentang.


Contoh:

Dia itu adalah bakal isteri saya.(Tepat)

Encik Ali bakal dilantik menjadi Ketua Hakim Negara.(Tidak tepat)
Encik Ali akan dilantik menjadi Ketua Hakim Negara.(Tepat)

Rahmat adalah bakal suami Aminah.(Tepat)

Zain bakal berkahwin dengan Puteri Alia.(Tidak tepat)
Zain akan berkahwin dengan Puteri Alia.(Tepat)

Perdana Menteri bakal tiba pada pukul 9.00 pagi. (Tidak tepat)
Perdana Menteri akan tiba pada pukul 9.00 pagi.(Tepat)

Penyakit itu bakal merebak sekiranya penduduk bandar itu tidak menjaga kebersihan.(Tidak tepat)
Penyakit itu akan merebak sekiranya penduduk bandar itu tidak menjaga kebersihan.(Tepat).

Rabu, 16 Mac 2016

Hingga dan Sehingga

Hingga

1. Kata sendi nama 'hingga' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama.

2. Ia membawa maksud perihal peringkat dan had masa, waktu atau tempat yang ditentukan/batas/had sempadan.


Sehingga/hinggakan/sehinggakan

1. Kata sendi nama 'sehingga' digunakan di hadapan kata nama dan frasa nama.

2. Ia membawa maksud perihal peringkat dan had masa, waktu atau tempat, tetapi had masa tidak ditentukan atau tidak ditetapkan/tidak dapat dipastikan dengan tepat atau sampai siap/menjadi.

Nota: Tidak digalakkan menambah 'ke' ('hingga ke' atau 'sehingga ke') selepas kata sendi nama 'hingga' dan 'sehingga' kerana kedua-duanya adalah kata sendi dan bersifat lewah. Cara yang gramatis adalah dengan menggugurkan 'ke' selepas 'hingga' atau 'sehingga.'

Contoh:

Akauntan itu bekerja sehingga ke subuh.(Tidak tepat)
Akauntan itu bekerja hingga subuh.(Tepat)

Anak-anaknya belajar sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran.(Tidak tepat)
Anak-anaknya belajar hingga peringkat ijazah kedoktoran.(Tepat)

Kami berjanji akan bersama hingga ke akhir hayat.(Tidak tepat)
Kami berjanji akan bersama sehingga akhir hayat.(Tepat)

Ibu mengisar cili hingga lumat.(Tidak tepat)
Ibu mengisar cili sehingga lumat.(Tepat)

Marco Polo mengembara hingga ke Asia Tenggara.(Tidak tepat)
Marco Polo mengembara hingga Asia Tenggara.(Tepat)

Dari dan Daripada

Dari

1.Kata sendi nama 'dari' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama.

2. Ia menyatakan arah, tempat, masa atau waktu(ATM).

3. Namun kombinasi 'sejak dari' tidak dibenarkan. Kata 'dari' perlu digugurkan di sini.

Daripada

1. Kata sendi nama 'daripada' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama.

2. Ia menyatakan punca bagi manusia atau institusi, haiwan, benda dan unsur abstrak.

3. Ia menyatakan asal kejadian sesuatu benda.

4. Ia menyatakan sebahagian daripada semua.

5. Ia menyatakan perbezaan atau perbandingan.

6. Kaedah mudah bagi mengingati penggunaan kata sendi daripada adalah KABOSPP iaitu Keanggotaan, Abstrak, Benda, Orang/Organisasi, Sumber, Perbandingan/Perbezaan, Perubahan.

Contoh:

Rahmat baru balik daripada sekolah.(Tidak tepat)
Rahmat baru balik dari sekolah.(Tepat)

Kajian itu dibuat daripada sudut kewangan.(Tidak tepat)
Kajian itu dibuat dari sudut kewangan.(Tepat).

Kereta itu datang daripada arah kanan. (Tidak tepat)
Kereta itu datang dari arah kanan.(Tepat)

Saya menunggunya daripada pagi lagi.(Tidak tepat)
Saya menunggunya dari pagi lagi.(Tepat)

Kisah purba itu terkenal sejak daripada kurun ke-15 lagi.(Tidak tepat)
Kisah purba itu terkenal sejak dari kurun ke-15 lagi.(Tepat)

Hal itu diketahui daripada tengah malam lagi.(Tidak tepat)
Hal itu diketahui dari tengah malam lagi.(Tepat)

Keadaannya semakin tenat daripada sehari ke sehari.(Tidak tepat)
Keadaannya semakin pulih dari sehari ke sehari.(Tepat)

Perangainya sama sahaja daripada dahulu hingga sekarang.(Tidak tepat)
Perangainya sama sahaja dari dahulu hingga sekarang.(Tepat)

Siti dan Maria berkawan sejak dari kecil.(Tidak tepat)
Siti dan Maria berkawan sejak kecil.(Tepat)

Contoh menggunakan KABOSPP 'daripada':

1. Peserta yang menghadiri bengkel hari ini terdiri daripada golongan jurutera.(Keanggotaan)

2. Dia menyelamatkan Ali daripada kejahilan.(Abstrak)

3. Kain itu diperbuat daripada kapas.(Benda)

4. Dia menerima surat daripada ibunya.(Orang)

5. Ali menerima sijil profesional daripada UPSI.(Organisasi)

6.  Madu diperoleh daripada lebah.(Sumber)

7. Besi lebih kuat daripada kayu.(Perbezaan/Perbandingan)

8. Suhu musim panas meningkat daripada 30°C kepada 40°C.(Perubahan)

Contoh menunujukkan 'sebahagian daripada semua':

1. Kebanyakan daripada rumah di kawasan itu musnah dalam kebakaran.(Tepat)

2. Seorang daripada ahli kumpulan itu ditangkap semalam.(Tepat)

3. Tiga daripada tujuh orang pelajar itu mendapat 5A.(Tepat)

Contoh menunjukkan 'perbezaan ataupun perbandingan':

1. Nora lebih gempal daripada Salmah.(Tepat)

2. Membaca buku lebih baik daripada menonton wayang.(Tepat)

Sila lihat Hingga dan Sehingga.

Di dan Ke

Di

1. Kata sendi 'di' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama bagi menunjukkan tempat atau arah.

2. Kata sendi 'di' juga menunjukkan kita sudah tiba/sudah berlaku di tempat itu.

2. Kata sendi 'di' tidak boleh digunakan bagi menerangkan waktu, masa ataupun zaman.  

Ke

1. Kata sendi 'ke' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama bagi menunjukkan tempat, arah, waktu atau masa.

2. Ia ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya.

3. Kata sendi 'ke' juga menunjukkan kita akan/sedang menuju/melakukan sesuatu ke tempat itu.

Contoh:

Sultan Mahmud memerintah di zaman itu.(Tidak tepat)
Sultan Mahmud memerintah pada zaman itu.(Tepat)

Ahmad sudah sampai ke Sarawak.(Tidak tepat)
Ahmad sudah sampai di Sarawak.(Tepat)

Harlina dan Ali makan ke kedai itu.(Tidak tepat)
Harlina dan Ali makan di kedai itu.(Tepat)

Zain meletakkan buku itu ke atas meja.(Tidak tepat)
Zain meletakkan buku itu di atas meja. (Tepat)

Sofia dan Idris pergi di bandar.(Tidak tepat)
Sofia dan Idris pergi ke bandar.(Tepat)

Mereka terjun di dalam sungai.(Tidak tepat)
Mereka terjun ke dalam sungai.(Tepat)

Bengkel itu ditunda di bulan hadapan.(Tidak tepat)
Bengkel itu ditunda ke bulan hadapan.(Tepat)

Alia asyik menangis dari sehari ke sehari.(Tepat)

Adat itu masih kekal hingga ke zaman ini.(Tepat)

Pengarah syarikat itu menilai prestasi pengurusnya dari semasa ke semasa.(Tepat)

Ibu tua itu berada di sisi suaminya hingga ke saat terakhir.(Tepat)

Azman menunggu ayahnya di hadapan pintu hingga ke petang.(tepat)

Sila lihat Dari dan Daripada

Pada dan Kepada

Pada

1. Menyatakan waktu atau masa.

2. Menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja.

3. Merujuk kepada manusia atau haiwan yang didahului oleh perkataan 'ada' (ada+pada).

4. Kata sendi nama 'pada' tidak boleh digunakan bagi maksud sasaran.

Kepada

1. Menyatakan sasaran (manusia, haiwan, unsur abstrak).

2. Menyatakan pecahan.

3. Menyatakan perubahan keadaan.

4. Ia terletak di hadapan kata nama ataupun frasa nama bagi menyatakan ketiga-tiga perkara di atas.

5. Kata sendi kepada sering berpasangan dengan kata sendi daripada.

6. Kata sendi kepada tidak boleh digunakan bagi merujuk tempat.

Contoh:

Kelas itu bermula pada pukul 9.00 pagi. (Tepat)

Dia dilahirkan pada tahun 1979.(Tepat)

Notis itu ditampal pada papan notis.(Tepat)

Dia menulis namanya pada kertas.(Tepat).

Buku itu ada pada adik saya. (Tepat)

Sifat ganas ada pada singa.(Tepat)

Wang itu ada pada ayah.(Tepat)

Pada siapakah hadiah ini hendak diberikan? (Tidak tepat)
Kepada siapakah hadiah ini hendak diberikan? (Tepat)

Kecurian itu mesti dilaporkan pada polis.(Tidak tepat)
Kecurian itu mesti dilaporkan kepada polis.(Tepat)

Mariam mengirim surat kepada ibunya.(Tepat)
Mariam mengirim surat pada ibunya.(Tidak tepat)

Makanan itu diberi kepada kucing.(Tepat)
Makanan itu diberi pada kucing. (Tidak tepat)

Kepercayaan kepada bomoh masih tebal.(Tepat)
Kepercayaan pada bomoh masih tebal. (Tidak tepat)

Buku latihan itu dihantar kepada rumah anak yatim.(Tepat)
Buku latihan itu dihantar pada rumah anak yatim.(Tidak tepat)

Peserta bengkel penulisan itu dibahagikan kepada lima kumpulan.(Tepat)
Peserta bengkel penulisan itu dibahagikan pada lima kumpulan.(Tidak tepat)

Tanah pertanian itu dipecahkan kepada enam lot.(Tepat)
Tanah pertanian itu dipecahkan pada enam lot.(Tidak tepat).

Suhu air itu meningkat kepada 100°C. (Tepat)
Suhu air itu meningkat pada 100°C. (Tidak tepat)

Perubahan cuaca daripada sejuk kepada panas berlaku setiap hari.(Tepat)
Perubahan cuaca daripada sejuk pada panas berlaku setiap hari.(Tidak tepat)

Beg itu dibawa daripada bas kepada rumah. (Tidak Tepat).
Beg itu dibawa dari bas ke rumah.(Tepat)

Isnin, 14 Mac 2016

Mencolok dan Menjolok

Mencolok:

1. Berasal daripada perkataan colok. Iaitu suluh yang dibuat daripada kain buruk/kayu untuk dibakar sebagai sumbu pelita ataupun alat penyembahan. Menyuluh dengan colok.

2. Mencucuk, menusuk.

3. Membangkitkan marah orang lain, menyakitkan hati, memberi malu.

4. Mencelup.


Menjolok:

1. Menusuk, merodok.

2. Memasukkan jari ke dalam lubang kerongkong atau hidung.

3. Memancing keterangan daripada orang lain.

4. Mengajuk atau menduga hati orang.

Kesalahan : Kesalahan berlaku kerana bunyi sebutan hampir sama tetapi ejaan dan makna yang berlainan.
 
Contoh:

Kita dilarang memakai pakaian yang menjolok mata ke masjid.(Tidak tepat)
Kita dilarang memakai pakaian yang mencolok mata ke masjid.(Tepat)

Ali mencolok tekaknya kerana tercekik tulang.(Tidak tepat)
Ali menjolok tekaknya kerana tercekik tulang.(Tepat)

Sumber: Kamus Dewan, Edisi ke-4

Jumaat, 13 November 2015

Peraturan Menulis Nombor dalam Penulisan


Peraturan Penggunaan Nombor
Contoh
1. Tahun – guna angka tanpa koma 1994
'60-an
2005
1960-an
2. Berat – gunakan angka dan koma Kek itu beratnya 3 paun, 2 auns.
3. Tanda waktu – gunakan angka. Gunakan noktah bertitik bagi memisahkan jam dan minit. 10 pagi,
8.30 malam.
9 pagi hari Selasa.
11 malam hari ini.
4. Suhu – gunakan angka bagi semua kecuali kosong. Gunakan perkataan bukan lambang(-) bagi menunjukkan suhu bawah paras kosong. 20°C
0°C takat beku 
tolak 6°C bawah kosong  
C bawah paras beku
C bawah paras kosong
100°C paras mendidih
5. Nombor telefon – gunakan angka, bagi nombor sambungan sebutkan ringkasan perkataan sambungan. 05-66334455
samb. 101
ext: 166

Selasa, 10 November 2015

Penggunaan Huruf Kecil - Kata Nama Am


Huruf Kecil Contoh
1. Kata nama am tempat, jalan dsb sungai, parti, jalan, barat
2. Huruf pertama perkataan yang berasal daripada nama betul kemelayuan, keinggerisan, kearaban
3. Kecilkan huruf perkataan yang berasal daripada nama khas tetapi tidak lagi bergantung padanya dari segi makna rojak singapura, laksa penang, baju melayu, mi bandung, asam jawa, kain batik jawa
4. Kata sendi atau kata hubung yang disebut dalam sesuatu tajuk/judul buku, cerita, karangan Buku Panduan Umum dan Tatabahasa,
Panduan Revisi untuk Sukses
5. Nama am bangsa mengikut warna kulit orang putih, orang hitam, bangsa kulit putih
6. Rujukan secara am kepada rumah ibadat Beberapa buah gereja Roman Katolik terbakar.
7. Hakim - rujukan am Beliau dilantik menjadi hakim peraduan fotografi.
8. Jabatan akademik – kecilkan huruf pertama kata nama atau kata sifat. jabatan sejarah,
jabatan agama Islam,
jabatan kesusasteraan Melayu
8. Perkataan kerajaan kerajaan negeri,
kerajaan persekutuan,
kerajaan Malaysia
9. Nama am musim kecuali digunakan dalam nama khas musim panas,
musim bunga,
musim tengkujuh
10. Perundangan – kecilkan dalam penggunaan umum Semua dewan perundangan negeri meluluskan pindaan itu.
11. Politik - kecilkan apabila merujuk kepada falsafah politik sahaja. fahaman komunis, fahaman sosialis
12. Abad – kecilkan perkataan abad kecuali pada permulaan ayat. abad ke-16, abad ke-21
13. Zaman – kecilkan dalam penggunaan umum era Marcos, zaman Victoria, kejatuhan Rom, Greek lama,

Pengunaan Huruf Besar - Kata Nama Khas(III)

Sila rujuk pada Kata Nama Khas 


Huruf Besar Contoh
27. Perlembagaan Perlembagaan Malaysia,
Perlembagaan Amerika Syarikat,
28. Perundangan Dewan Perundangan Negeri Perlis,
Dewan Perundangan Negeri Sabah
29. Parti Politik Parti Islam se-Malaysia,
Parti Keadilan Rakyat,
Parti Republikan,
Parti Komunis
30. Nama khas surat khabar Sinar Harian,
The Star,
Berita Harian,
31. Tanda cap dagangan Gucci,
Malboro,
Camel,
Polo,
32. Nama jawatan Perdana Menteri Malaysia,
Ketua Hakim Negara,
Pengetua Sekolah Kebangsaan Putrajaya,
Ketua Polis Negara
33. Nama tugu atau menara Tugu Negara,
Menara Petronas,
Menara Condong Pisa

Penggunaan Huruf Besar - Kata Nama Khas(II)


Huruf Besar Contoh
16. Nama khas jabatan akademik Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya,
Jabatan Bahasa Inggeris Universiti Pendidikan Sultan Idris

17. Nama khas jabatan polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak,
Balai Polis Putrajaya

18. Nama rasmi jawatankuasa Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan,
Jawatankuasa Tatatertib Kementerian Pendidikan

19. Kabinet menteri Barisan Kabinet kerajaan Tun Mahathir,
Barisan Kabinet kerajaan Britain

20. Nama rasmi kesatuan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,
Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Timur

21. Nama kongres senat dan dewan perwakilan Kongres Argentina,
Kongres Amerika

22. Nama khas lembaga Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan,
Lembaga Pengelola DBP

23. Nama khas mahkamah Mahkamah Perusahaan,
Mahkamah Tinggi Malaya,
Mahkamah Persekutuan,
Mahkamah Syariah Petaling Jaya

24. Nama khas musim sukan Sukan Olimpik Musim Dingin,
Sukan Olimpik Musim Panas,

25. Nama negeri negeri Kelantan, negeri Kedah, negeri Sabah kecuali Negeri Sembilan

26. Nama khas organisasi/institusi Persatuan Sejarah Malaysia,
Kelab Wartawan Malaysia


Selasa, 6 Oktober 2015

Antara dan Di antara

Antara
- Bermakna menunjukkan perbandingan, sebahagian daripada, kira-kira, lebih kurang dan dalam lingkungan.
- Ialah kata sendi nama.

Di antara
- Merujuk tempat, jarak, sela(di tengah dua benda), menunjukkan kedudukan fizikal ataupun arah.
- Ialah kata arah.

Contoh:

Di antara Sofia dan adiknya, Sofia lebih pandai menjahit.(TIDAK TEPAT)
Antara Sofia dan adiknya, Sofia lebih pandai menjahit.(TEPAT)

Di antara persoalan penting yang Mr Robert bentangkan tadi adalah berkaitan dengan pemasaran syarikat.(TIDAK TEPAT)
Antara persoalan penting yang Mr Robert bentangkan tadi adalah berkaitan dengan pemasaran syarikat.(TEPAT)

Mereka adalah di antara sepuluh orang yang diberkas kerana dadah.(TIDAK TEPAT)
Mereka adalah antara sepuluh orang yang diberkas kerana dadah.(TEPAT)

Pelajar yang berumur di antara dua belas dan tujuh belas tahun layak menyertai kumpulan itu.(TIDAK TEPAT)
Pelajar yang berumur antara dua belas dan tujuh belas tahun layak menyertai kumpulan itu.(TEPAT)

Terengganu terletak antara Kelantan dan Pahang.(TIDAK TEPAT)
Terengganu terletak di antara Kelantan dan Pahang.(TEPAT)

Bangunan pejabat itu terletak antara dua jalan.(TIDAK TEPAT)
Bangunan pejabat itu terletak di antara dua jalan.(TEPAT)

Rajah yang terletak antara perenggan kelima dan keenam menunjukkan graf pertumbuhan penduduk.(TIDAK TEPAT)
Rajah yang terletak di antara perenggan kelima dan keenam menunjukkan graf pertumbuhan penduduk.(TEPAT)







Isnin, 5 Oktober 2015

Dalam dan Di dalam

Dalam
- Lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak fizikal seperti perkara, peristiwa, hal, urusan, bahasa, bidang, masyarakat dsb.
- Digunakan di hadapan frasa nama abstrak (yang tidak dapat dipegang, disentuh, dilukis dsb secara fizikal).

Di dalam
- Tempat yang mempunyai ruang ataupun jarak fizikal.
- Digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama konkrit (yang dapat disentuh, dilukis, diseluk secara fizikal.)

Contoh:

Bella memiliki ijazah di dalam bidang kejuruteraan.(TIDAK TEPAT)
Bella memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan.(TEPAT)

Halim ada dalam bilik mesyuarat itu.(TIDAK TEPAT)
Halim ada di dalam bilik mesyuarat itu.(TEPAT)

Jumaat, 2 Oktober 2015

Penggunaan Huruf Besar - Gelaran


HURUF BESAR CONTOH
1. Huruf besar untuk gelaran rasmi atau gelaran akademik yang digunakan sebelum nama individu. Ketua Pengarah Jabatan Sisa Pepejal Negara,
Timbalan Naib Canselor,
Perdana Menteri Malaysia,
Profesor Emeritus Datuk Shahnon Ahmad
Timbalan-timbalan Menteri Datuk Dr. Rais Yatim dan Datuk Dr. Ibrahim Saad.
Tuan Haji Amir,
Saudara Anwar Ibrahim
Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofia
Cikgu Ahmad 
2. Kecilkan huruf bagi gelaran yang berbentuk penanda kerja tetapi bukan gelaran rasmi Tun Mahathir Mohamed, pengerusi persidangan....,
Puan Aini, pengetua...
Profesor Dr. Asmah, pensyarah....
3. Gelaran diraja Sultan Mizan Zainal Abidin,
Raja Kecil Besar, Puteri Amirah,
Permaisuri Perak, Tunku Zara Salim.
4. Gelaran perwakilan atau kabinet Senator Datuk Siva Subramaniam, setiausaha MTUC
Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan Datuk...
5. Gelaran pangkat tentera Brigedar Jeneral (B) Dato' Abdul Hamid Zainal Abidin
6. Gelaran bagi individu yang mengetuai mahkamah undang-undang Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Tan Sri...

Penggunaan Huruf Besar - Kata Nama Khas(I)




HURUF BESAR Contoh
1. Nama tuhan, orang, negeri dan jenama atau model kereta Al-Rahman, Al-Rahim, Honda City, Siti Nurhaliza, Negeri Sembilan
2. Kata nama am yang menjadi sebahagian nama tempat,orang, benda Sungai Pahang, Bank Negara, Jalan Segambut,
3. Nama khas yang berulang Parti-Parti PKR, Jalan-Jalan P.Ramlee
4. Nama tempat dan peristiwa yang popular Dataran Merdeka, Hari Kemerdekaan
5. Tajuk untuk buku, berita, karangan atau penulisan kecuali kata hubung atau kata sendi yang ada dalam tajuk itu Bahasa Melayu Tingkatan Satu,
Letupan Bom di Siam,
Masalah Disiplin Remaja.
6. Nama buku, surat khabar, filem, drama, sajak, opera, lagu,program radio dan televisyen, hasil seni Berita Harian,
Hantu Kak Limah,
Bunga Popi,
Majalah 3
7. Nama bangsa dan bahasa Melayu, Inggeris, Belanda, Cina, Iban, Mandarin, Tamil
8. Nama bangunan Menara Maybank,
Bangunan AIA,
Putrajaya International Convention Centre
9. Nama rasmi pertubuhan atau agensi, syarikat, institusi Biro Pengaduan Awam,
Biro Bantuan Guaman,
Persatuan Cina Muslim,
Gereja St. Mary,
Masjid Putra.
Syarikat Telekom Malaysia Bhd
Universiti Putra Malaysia
10. Bulan kalendar, hari, tahun dan peristiwa Jun, Julai, Ogos,April
Isnin, Khamis
Muharam,
Tahun Gajah,
Hari Pahlawan
Hari Raya Aidil Fitri,
Perang dunia Kedua
11. Nama bintang/cakerawala Libra, Aries, Mars
Galaksi Milky Way
12. Nama gunung Gunung Kinabalu, Gunung Everest
13. Nama kitab Quran,Taurat, Injil
14. Nama zaman dalam bidang antropologi, geologi, sejarah Zaman Pra-Sejarah,
Zaman Perindustrian,
Zaman Kesultanan Melaka
15. Nama pasukan tentera Angkatan Tentera Darat Diraja Malaysia,
Angkatan Bersenjata Republik Indonesia

Bukan dan Tidak

Bukan
- Bererti sebenarnya tidak, berlainan daripada yang sebenarnya.
- Kata bukan tidak boleh digunakan untuk frasa adjektif atau frasa kerja yang menjadi predikat ayat.

Tidak
- Digunakan untuk menyatakan bukan, untuk menafikan, menolak, menghalang dsb. 
- Kata tidak pula tidak boleh digunakan untuk frasa nama yang menjadi predikat ayat.

Contoh:

Anak bongsu Puan Marina tidak jurutera.(TIDAK TEPAT)
Anak bongsu Puan Marina bukan jurutera.(TEPAT)

Budak itu tidak bodoh tetapi malas.(TIDAK TEPAT)
Budak itu bukan bodoh tetapi malas.(TEPAT)

Rahmat bukan bermain bola di padang.(TIDAK TEPAT)
Rahmat tidak bermain bola di padang.(TEPAT)

Baju itu bukan cantik.(TIDAK TEPAT)
Baju itu tidak cantik.(TEPAT)

Golong dan Gulung

Golong
- Membahagi-bahagikan/mengasingkan ke dalam beberapa kumpulan(untuk manusia,kaum,puak dsb).

Gulung
- Benda yang berlembar-lembar(seperti tikar/kertas/karpet) yang dilipat begitu rupa hingga berbentuk bulat memanjang.

Contoh:

Gulungan siswazah digalakkan menambah ilmu kemahiran mereka.(TIDAK TEPAT)
Golongan siswazah digalakkan menambah ilmu kemahiran mereka.(TEPAT)

Mak Timah menyimpan golongan permaidani itu di dalam setor.(TIDAK TEPAT)
Mak Timah menyimpan gulungan permaidani itu di dalam setor.(TEPAT)