Rabu, 16 Mac 2016

Pada dan Kepada

Pada

1. Menyatakan waktu atau masa.

2. Menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja.

3. Merujuk kepada manusia atau haiwan yang didahului oleh perkataan 'ada' (ada+pada).

4. Kata sendi nama 'pada' tidak boleh digunakan bagi maksud sasaran.

Kepada

1. Menyatakan sasaran (manusia, haiwan, unsur abstrak).

2. Menyatakan pecahan.

3. Menyatakan perubahan keadaan.

4. Ia terletak di hadapan kata nama ataupun frasa nama bagi menyatakan ketiga-tiga perkara di atas.

5. Kata sendi kepada sering berpasangan dengan kata sendi daripada.

6. Kata sendi kepada tidak boleh digunakan bagi merujuk tempat.

Contoh:

Kelas itu bermula pada pukul 9.00 pagi. (Tepat)

Dia dilahirkan pada tahun 1979.(Tepat)

Notis itu ditampal pada papan notis.(Tepat)

Dia menulis namanya pada kertas.(Tepat).

Buku itu ada pada adik saya. (Tepat)

Sifat ganas ada pada singa.(Tepat)

Wang itu ada pada ayah.(Tepat)

Pada siapakah hadiah ini hendak diberikan? (Tidak tepat)
Kepada siapakah hadiah ini hendak diberikan? (Tepat)

Kecurian itu mesti dilaporkan pada polis.(Tidak tepat)
Kecurian itu mesti dilaporkan kepada polis.(Tepat)

Mariam mengirim surat kepada ibunya.(Tepat)
Mariam mengirim surat pada ibunya.(Tidak tepat)

Makanan itu diberi kepada kucing.(Tepat)
Makanan itu diberi pada kucing. (Tidak tepat)

Kepercayaan kepada bomoh masih tebal.(Tepat)
Kepercayaan pada bomoh masih tebal. (Tidak tepat)

Buku latihan itu dihantar kepada rumah anak yatim.(Tepat)
Buku latihan itu dihantar pada rumah anak yatim.(Tidak tepat)

Peserta bengkel penulisan itu dibahagikan kepada lima kumpulan.(Tepat)
Peserta bengkel penulisan itu dibahagikan pada lima kumpulan.(Tidak tepat)

Tanah pertanian itu dipecahkan kepada enam lot.(Tepat)
Tanah pertanian itu dipecahkan pada enam lot.(Tidak tepat).

Suhu air itu meningkat kepada 100°C. (Tepat)
Suhu air itu meningkat pada 100°C. (Tidak tepat)

Perubahan cuaca daripada sejuk kepada panas berlaku setiap hari.(Tepat)
Perubahan cuaca daripada sejuk pada panas berlaku setiap hari.(Tidak tepat)

Beg itu dibawa daripada bas kepada rumah. (Tidak Tepat).
Beg itu dibawa dari bas ke rumah.(Tepat)

Selasa, 15 Mac 2016

Kata Hubung Berpasangan atau Kata Hubung Berkait

Keterangan:

Kata hubung yang digunakan secara berpasangan dalam satu ayat.


Kata Hubung
Contoh Ayat
adakah...atau Adakah wajar atau munasabah tuntutan pendatang asing itu?
apakah...atau Apakah dia menang atau kalah, tidak diketahui nasibnya?
bagaimana...begitulah Bagaimana muzik begitulah lagunya.
baik...atau Baik yang biru atau yang merah, harganya serupa.
baik...mahupun Baik yang menang mahupun yang kalah, kedua-duanya tidak mahu bertolak ansur.
biar...jangan Biar putih tulang jangan putih mata
bukan sahaja...bahkan juga Menteri negara itu bukan sahaja bermulut celopar bahkan juga zalim terhadap rakyatnya.
bukan sahaja...tetapi juga Pegawai wanita itu bukan sahaja garang tetapi juga cerewet.
daripada...lebih baik Daripada membaca buku sepanjang hari lebih baik saya pergi bersenam.
entah...entah Entah betul entah tidak.
jangankan...pun Jangankan masih hidup, mati pun saya tuntut juga.
kian...kian Kian hari kian tua.
sama ada...atau Sama ada yang hitam atau yang putih, isinya sama sahaja.
sedangkan...inikan pula Sedangkan lidah lagikan tergigit inikan pula suami isteri.
semakin...semakin
makin...makin
Semakin hari semakin bertambah teruk penyakitnya.
sungguhpun...tetapi
sungguhpun...namun
Sungguhpun dia miskin tetapi dia tidak kedekut.
Posted on by SetitisTintaSecawanKopi in

Isnin, 14 Mac 2016

Sumber Rujukan

Sumber rujukan blog ini ialah:

1. Kamus Dewan Edisi Keempat.(Penerbit DBP)
2. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga.(Penerbit DBP)
3. Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Rendah.(Penerbit DBP)
4. Tatabahasa Pedagogi Untuk Sekolah Menengah.(Penulis: Abdullah Hassan, Penerbit: PTS Professional 2008)
5. Tatabahasa Melayu Mesra Pengguna.(Penulis: Sulaiman Masri & Ahmad Khair Mohd Nor, Penerbit Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd 2006)

Mencolok dan Menjolok

Mencolok:

1. Berasal daripada perkataan colok. Iaitu suluh yang dibuat daripada kain buruk/kayu untuk dibakar sebagai sumbu pelita ataupun alat penyembahan. Menyuluh dengan colok.

2. Mencucuk, menusuk.

3. Membangkitkan marah orang lain, menyakitkan hati, memberi malu.

4. Mencelup.


Menjolok:

1. Menusuk, merodok.

2. Memasukkan jari ke dalam lubang kerongkong atau hidung.

3. Memancing keterangan daripada orang lain.

4. Mengajuk atau menduga hati orang.

Kesalahan : Kesalahan berlaku kerana bunyi sebutan hampir sama tetapi ejaan dan makna yang berlainan.
 
Contoh:

Kita dilarang memakai pakaian yang menjolok mata ke masjid.(Tidak tepat)
Kita dilarang memakai pakaian yang mencolok mata ke masjid.(Tepat)

Ali mencolok tekaknya kerana tercekik tulang.(Tidak tepat)
Ali menjolok tekaknya kerana tercekik tulang.(Tepat)

Sumber: Kamus Dewan, Edisi ke-4

Selasa, 23 Februari 2016

Kata Hubung Gabungan atau Kata Hubung Setara


Keterangan:
  • Kata hubung yang digunakan untuk menggabungkan dua klausa atau lebih yang sama taraf(setara) sifatnya, iaitu kedua-dua ayat adalah ayat utama.
  • Ayat yang terbentuk apabila menggunakan kata hubung jenis ini dipanggil ayat majmuk gabungan. 

Contoh :

atau, dan, kecuali, lalu, serta, lagi, sambil, seraya, tetapi

 
Kata Hubung
Fungsinya
Contoh Ayat
atau Menunjukkan pilihan 1. Kamu mahu makan nasi atau mee?
2. Sarah atau Lia akan pergi ke Zoo Negara.
dan Menggabungkan dua unsur yang setara 1. Ali dan Ah Chong belajar di Sekolah Methodist.
2. Suria membaca buku dan Sofia membaca majalah.
kecuali Menunjukkan tidak termasuk, melainkan, terasing, berbeza 1. Rose belajar agama setiap hari kecuali hari Ahad.
2. Mary akan ke taman petang ini kecuali hari hujan.

lalu Menggabungkan dua perbuatan yang dilakukan berturut-turut 1. Danial pergi ke bandar lalu singgah di kedai buku.
2. Mia masuk ke bilik lalu menguncinya dari dalam.
serta/lagi Menyatakan maksud turut atau bersama-sama 1. Zaitun rajin serta gigih berusaha.
2. Lina seorang yang pengasih serta penyabar.
sambil Menunjukkan perbuatan lain dilakukan di samping perbuatan utama 1. Samy makan sambil membaca.
2. Nurin berjalan sambil memimpin tangan adiknya.
tetapi Digunakan untuk menyatakan hal-hal yang bertentangan atau berlawanan. 1. Lelaki itu tampan tetapi jahat.
2. Kereta itu besar tetapi enjinnya kecil.


Posted on by SetitisTintaSecawanKopi in

Kata Hubung - Apakah Kata Hubung?

Maksud:

Kata hubung ialah perkataan yang bertugas sebagai penyambung ayat, frasa dan perkataan.

Ayat yang terbentuk menggunakan kata hubung dipanggil ayat majmuk.


Contoh: 
agar, andai kata, apabila, atau
bahawa,
dan, dengan, hingga
jikalau
kalau, kecuali, kemudian, kerana, ketika
lagi, lalu
mahupun, malahan, manakala, meskipun
namun
sama ada, sambil, sebab, sejak, sekiranya, selama, semasa, semenjak, sementara, semoga, seraya, serta, sewaktu, sungguhpun, supaya, supaya
tatkala, tetapi
untuk
walaupun
yang

Ada tiga jenis kata hubung:

1. Kata hubung gabungan atau kata hubung setara.

2. Kata hubung pancangan atau kata hubung tak setara.

3. Kata hubung berpasangan atau kata hubung berkait.

Posted on by SetitisTintaSecawanKopi in