Khamis, 1 Oktober 2015

Lancung dan Lancong

Lancong
- Melancong bermakna melawat sambil melihat-lihat.Pelancong ialah orang yang melancong.

Lancung
- Barang yang tidak tulen, palsu.
- Tidak jujur. Curang.

Contoh:

Safiyya bercadang hendak pergi melancung ke luar negara.(TIDAK TEPAT)
Safiyya bercadang hendak pergi melancong ke luar negara.(TEPAT)

Cincin itu diperbuat daripada emas lancong.(TIDAK TEPAT)
Cincin itu diperbuat daripada emas lancung.(TEPAT)

Mapan dan Mampan

Mapan
- Tidak berubah-ubah, mantap, kukuh, tidak goyah, stabil, teguh.

Mampan
- Mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik (seperti ekonomi, pembangunan dsb)

Contoh:

Bahasa Melayu yang sudah mampan mampu menjadi bahasa perhubungan di Nusantara.(TIDAK TEPAT)

Bahasa Melayu yang sudah mapan mampu menjadi bahasa perhubungan di Nusantara.(TEPAT)

Sekiranya ekonomi Malaysia terus mapan, kita akan berjaya mencapai Wawasan 2020 lebih awal lagi.(TEPAT)

Sekiranya ekonomi Malaysia terus mampan, kita akan berjaya mencapai Wawasan 2020 lebih awal lagi.(TEPAT)



Mantan dan Matan

Mantan
- Pernah menjawat sesuatu jawatan tertentu pada suatu masa dahulu. Bekas.

Matan
1. Teras atau mata kayu.
2. Hampir, dekat.
3. Naskhah atau teks asli syarahan. Nas yang terdapat pada akhir sanad.
4. Erti atau maksud sesuatu ayat.

Contoh

Tun Mahathir ialah matan perdana menteri Malaysia.(TIDAK TEPAT)

Tun Mahathir ialah mantan perdana menteri Malaysia.(TEPAT)

Mantan syarahan itu boleh didapati dalam bahasa Arab.(TIDAK TEPAT)
Matan syarahan itu boleh didapati dalam bahasa Arab.(TEPAT)

Materai dan Materi

Materai
1. Cap, mohor, tera, segel. Cap yang dilekatkan pada surat tanda pembayaran.
2. Termaterai bermakna meneguhkan (janji dll).

Materi
1. Melekatkan dengan gam pateri.
2. Termateri bermakna terlekat atau tersemat.
3. Benda atau bahan yang digunakan untuk sesuatu seperti berunding/berfikir dll.

Contoh:

Surat perjanjian itu dimateri dengan mohor logo syarikat itu. (TIDAK TEPAT)
Surat perjanjian itu dimaterai dengan mohor logo syarikat itu. (TEPAT)

Gadis itu mengerti apa yang termaterai dalam sanubari kekasihnya.(TIDAK TEPAT)
Gadis itu mengerti apa yang termateri dalam sanubari kekasihnya.(TEPAT)

Meniskus dan menikus

Meniskus
- Istilah sains fizik untuk permukaan cecair yang kelihatan cembung atau cekung akibat tindakan daya pada permukaannya.
- Istilah sains biologi untuk tulang rawan berbentuk sabit yang terdapat antara tulang-tulang pada sendi lutut.

Menikus
- Mendiamkan diri, tidak berkata apa-apa kerana takut.

Kesalahan:
Kesalahan peggunaan kerana ejaan dan sebutan yang hampir sama.

Contoh:

Salmi meniskus apabila mendengar bunyi orang mengetuk pintu rumahnya malam itu.(TIDAK TEPAT)
Salmi menikus apabila mendengar bunyi orang mengetuk pintu rumahnya malam itu.(TEPAT)

Permukaan air di dalam saluran itu berkelung membentuk menikus.(TIDAK TEPAT)
Permukaan air di dalam saluran itu berkelung membentuk meniskus.(TEPAT)


Menonton dan Menuntun

Menonton
- Melihat. Menyaksikan.

Menuntun
- Memimpin, menolong orang lain berjalan dengan memegang tangan. Menghela(kerbau,basikal), mengheret.

Kesalahan:
Kesalahan penggunaan kerana bunyi sebutan sama walaupun ejaan berlainan.

Contoh:

Mereka menuntun perlawanan bola sepak di televisyen.(TIDAK TEPAT)
Mereka menonton perlawanan bola sepak di televisyen.(TEPAT)

Ali menonton basikal miliknya ke tepi jalan.(TIDAK TEPAT)
Ali menuntun basikal miliknya ke tepi jalan.(TEPAT)