Selasa, 29 Oktober 2019

Dengan & Dan


1. Dengan
- adalah Kata Sendi Nama.
  • dengan+Kata Nama/Frasa Nama
- membawa maksud berikut:

(a). Bersama-sama atau berserta
     Contoh:
  • Sofia pergi ke pasar dengan ibunya.
  • Pelajar-pelajar itu pergi ke Muzium Negara dengan guru mereka.
  • Dengan siapakah kamu hendak bermain badminton?

(b). Cara sesuatu dilakukan
    Contoh:
  • Dia belajar dengan tekun.
  • Berita gembira itu disambut dengan sorakan.
  • Mereka memulakan majlis itu dengan bacaan doa.

(c). Memakai atau menggunakan.
    Contoh:
  • Salmah membasuh kain itu dengan sabun.
  • Tukang kebun memotong rumput dengan mesin rumput.
  • Laili membungkus nasi lemak dengan daun pisang.

(d). Keadaan perbandingan serupa atau sama.
    Contoh:
  • Ali sentiasa sependapat dengan Ahmad.
  • Adakah sama kaca dengan berlian?
  • Warna seluarnya hijau sama dengan warna seluarku. 

2. Dan
- adalah Kata Hubung Setara/Gabungan.
- menghubungkan dua unsur yang sama dalam ayat yang sama tara sifatnya;
  • Perkataan+dan+Perkataan
  • Frasa+dan+Frasa, 
  • Klausa+dan+Klausa, 
  • Ayat+dan+Ayat
- membentuk ayat majmuk gabungan.

     Contoh:
  • Ravi dan Mary bekerja di Bank Pertanian.
  • Mereka belajar di Universiti Malaya, Suzana dalam bidang Ekonomi dan Ihsan dalam bidang Fizik.
  • Zaini menyapu sampah dan Zaid membasuh kain.

Posted on by SetitisTintaSecawanKopi

Isnin, 28 Oktober 2019

Untuk, Demi dan Bagi

Kata Sendi Nama

1. Untuk
(biasanya digunakan sebelum kata nama)
(a). Menunjukkan kegunaan sesuatu/manfaat.

     Contoh: 
  • Rumah untuk anak-anak yatim Sri Petaling sedang dibina.
  • Baju-baju terpakai yang dikumpulkan itu adalah untuk mangsa-mangsa banjir di Kelantan. 
(b). Menunjukkan tujuan. Diletakkan di depan kata kerja.
(lazimnya kata sendi 'bagi' lebih sesuai digunakan di depan kata kerja)
    Contoh:
  • Pasukan hoki itu berlatih dan bekerja keras untuk mendapat kejayaan.
  • Bukan mudah untuk menjadi pelajar terbaik dengan hanya membaca buku.
 (c). Menyatakan bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan. Dalam hal ini, kata sendi 'untuk' tidak boleh ditukar ganti dengan kata sendi 'bagi'.
Contoh:
  • Rumah ini untukmu.
  • Rumah ini bagimu.
  • Ahmad membeli kereta untuk Julia.
  • Ahmad membeli kereta bagi Julia.
  • Untuk siapakah jambangan bunga itu?
  • Bagi siapakah jambangan bunga itu?

2. Bagi - Biasanya digunakan di depan kata kerja.
- Menunjukkan sebab sesuatu perbuatan itu dilakukan oleh kata nama dalam ayat itu.
- Boleh ditukar ganti dengan kata sendi 'untuk' dalam keadaan tertentu. 
    Contoh:
  • Pasukan hoki itu berlatih dan bekerja keras bagi mendapat kejayaan.
  • Bukan mudah bagi menjadi pelajar terbaik dengan hanya membaca buku.
3. Demi

(a). Membawa makna tujuan
    Contoh:
  • Rakyat Malaysia mesti bekerja keras demi kemajuan negara.
  • Demi memelihara alam sekitar, marilah kita berganding bahu menyelesaikan masalah ini.
(b). Sebagai penegas

    Contoh:
  • Demi Tuhan, aku bersumpah tidak akan ke sana lagi.
  • Bertaubatlah demi kebaikan keluargamu.

(c). Kata sendi 'demi' tidak perlu digunakan bersama kata sendi 'untuk'.
     Contoh:
  • Semua kaum perlu bertoleransi demi untuk perpaduan negara.
  • Semua kaum perlu bertoleransi demi perpaduan negara.(Betul)
  • Semua kaum perlu bertoleransi untuk perpaduan negara.(Betul)

Jumaat, 7 April 2017

Kata Nama Majmuk - Penggandaan

- Ada dua cara penggandaan bagi kata nama majmuk.

1. Penggandaan pada awal kata sahaja - dieja terpisah.

Contoh:

kertas kerja = kertas-kertas kerja

rumah sakit = rumah-rumah sakit

mata pelajaran = mata-mata pelajaran


2. Penggandaan  seluruh kata - dieja bercantum.

Contoh:

setiausaha = setiausaha-setiausaha

jawatankuasa = jawatankuasa-jawatankuasa

suruhanjaya = suruhanjaya-suruhanjaya

tanggungjawab = tanggungjawab-tanggungjawab

Khamis, 6 April 2017

Ejaan Bercantum

Selain kata majmuk yang telah mantap, terdapat sejumlah perkataan dalam golongan kata tertentu yang dieja bercantum.

Contoh:

peribadi
peribahasa
dinihari
perikemanusiaan
sukacita
dukacita
kepada
daripada
apabila
manakala
padahal
kadangkala
darihal
barangkali
apakala
walhal
beritahu
adakala
senjakala
prihatin

Bentuk Kata

Bagaimana perkataan dibentuk dalam bahasa Melayu?

Perkataan dapat dibentuk hasil daripada empat sumber iaitu:

1. Kata tunggal.

2. Kata terbitan.

3. Kata majmuk.

4. Kata ganda.

Kata Nama Majmuk - Pengimbuhan

- boleh menerima imbuhan untuk membentuk kata terbitan.

1. Imbuhan awalan atau akhiran - dieja terpisah.

Imbuhan+kata majmuk

kata majmuk+imbuhan

Contoh:

terima kasih = berterima kasih
ulang kaji = mengulang kaji
temu ramah = menemu ramah
reka bentuk = direka bentuk
rumah tangga = berumah tangga
daya serap = daya serapan

2. Imbuhan apitan - dieja bercantum

Imbuhan+kata majmuk+imbuhan

Contoh:

kuat kuasa = penguatkuasaan
hak milik = dihakmilikkan
surat khabar = persuratkhabaran
ibu bapa = keibubapaan
anak tiri = dianaktirikan

Kata Nama Majmuk - Mantap

- Ada sebilangan kecil kata majmuk yang penggunaannya dianggap telah mantap sebagai satu perkataan.

- Walaupun ia mengandungi dua kata dasar tetapi kata majmuk ini dieja bercantum.

Contoh:

antarabangsa
bumiputera
jawatankuasa
kakitangan
kerjasama
olahraga
matahari
setiausaha
sukarela
suruhanjaya
tandatangan
tanggungjawab
warganegara
pesuruhjaya

Kata Nama Majmuk

- terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu

- dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit(satu makna)

- namun ada kata nama majmuk yang mempunyai dua kata dasar tetapi dieja bercantum(dalam satu perkataan). Kata majmuk ini dipanggil kata majmuk mantap.

- bagi penggandaan dan pengimbuhan , sila rujuk Kata nama majmuk - penggandaan dan kata nama majmuk - pengimbuhan.
 


Ada 3 jenis kata nama majmuk:

1. Rangkai kata bebas.

Contoh:

guru besar
ibu bapa
rumah tangga
surat khabar
kuat kuasa
tengah hari
tepian gelanggang
balai raya
rukun tetangga
kertas kerja
urus setia
urus niaga
gambar rajah
biru laut
air hujan
jalan raya
nasi minyak
terima kasih
alat tulis
bandar raya
jam tangan
meja tulis
luar biasa
kapal terbang
merah muda
kuning langsat
Menteri Besar
Duta Besar

2. Istilah khusus dalam bidang ilmiah.

Contoh:

deria rasa
temu duga
segi empat tepat
segi tiga
cari gali
hak milik
kertas kerja
atur cara
kemas kini
urus setia
lut sinar
reka bentuk
kanta tangan
mata pelajaran

3. Berbentuk kiasan atau simpulan bahasa.

Contoh:

cakar ayam
buku lima
berat tangan
manis mulut
pilih kasih
buah hati

Isnin, 29 Ogos 2016

Dokong dan dukung

Dokong

1. Merujuk kepada sejenis pokok besar dan tinggi yang buahnya seperti langsat tetapi kulitnya tebal. Nama saintifiknya ialah lnasium Domesticum.


Dukung

1. Merujuk kepada sejenis tumbuhan herba yang tumbuh melata iaitu dukung anak. Nama saintifiknya ialah Phyllanthus Niruri.

 

2. Bermaksud mengendong anak kecil sama ada di belakang atau di pinggang.

3. Bermaksud mempunyai sesuatu matlamat yang hendak dicapai.

4. Bermaksud memperjuangkan atau menyokong sesuatu fahaman atau prinsip atau idea. Contoh idea politik, fahaman liberal dsb.

Contoh ayat:

Pohon dukung itu berbuah lebat. (Tidak tepat)
Pohon dokong itu berbuah lebat. (Tepat)

Siti mendokong anak kecilnya ke kedai. (Tidak tepat)
Siti mendukung anak kecilnya ke kedai. (Tepat)

Parti pembangkang itu mendokong fahaman liberal. (Tidak tepat)
Parti pembangkang itu mendukung fahaman liberal. (Tepat)