Khamis, 5 Mei 2016

Kata Pembenda

Kata pembenda ialah kata yang bukan kata nama apabila bergabung dengan partikel -nya berubah menjadi kata nama.

Contoh:

luasnya         : Kata adjektif+nya
bisingnya      : Kata adjektif+nya
duduknya      : Kata kerja+nya
datangnya     : Kata kerja+nya
tidurnya         : Kata kerja+nya

Contoh ayat:

Luasnya ladang itu saujana mata memandang.
Bukan kepalang bisingnya pasar basah itu pada tengah hari ini.
Kami tidak pasti dari mana datangnya lebah itu.
Mariana berkali-kali membetulkan duduknya.
Tidurnya nyenyak sekali pada malam itu.

Kata Penekan

Kata penekan ialah kata yang bergabung dengan partikel -nya dan digunakan untuk memberi penegasan kepada kata yang bergabung dengannya.

Contoh:

contohnya
sepatutnya
bukannya
hebatnya
agaknya
sesungguhnya

Contoh ayat:

Hebatnya persembahan tarian itu.
Gunung Kinabalu sesungguhnya amat tinggi.
Sepatutnya Rahmat yang didenda bukannya Ibrahim.
Makanan barat, contohnya burger, sangat enak.

Kata Arah

Kata arah ialah kata yang digunakan untuk menunjukkan arah, hala atau jurusan.
Kata arah memberitahu arah tempat di mana sesuatu benda itu berada.

Contoh:

atas
bawah
kiri
kanan
hadapan
belakang
timur
barat
hujung
hulu
pangkal
pinggir
puncak
antara
samping
sebelah
sebalik
seberang
segi
sekitar
utara
selatan
sisi
sudut
tengah
tepi
sekeliling
hilir
celah
bucu

Nota:
Kata arah mesti didahului oleh kata sendi nama di, ke dan dari.
Kata sendi nama di dan ke mesti ditulis terpisah daripada kata arah.

Contoh ayat:

Kereta api itu menuju ke timur.
Si Comel melompat dari atas bumbung rumah.
Rumah itu terletak di antara dua bangunan kedai.
Ibu saya menanam pokok bunga kertas di sekeliling kolam itu.


Rabu, 4 Mei 2016

Kata Nafi

Kata nafi ialah kata yang digunakan untuk menafikan frasa predikat (iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi).

Ada dua bentuk kata nafi:

1. Tidak/tak : digunakan sebagai unsur penafian dalam frasa adjektif dan frasa kerja.

Contoh ayat:

Ali tidak pergi ke sekolah hari ini.
Maria tidak marah kepada adiknya.
Kenyataan itu tidak benar
Rumah itu tidak besar sangat.

2. Bukan : Digunakan sebagai unsur penafian dalam frasa nama dan frasa sendi.

Contoh ayat:

Minuman itu bukan untuk Suraya.
Projek itu bukan usaha Husna.
Kereta ini bukan kereta buatan Malaysia.
Tempat ini bukan tempat kerja bapanya.

Nota:
1. Kata nafi 'bukan' boleh digunakan dalam frasa adjektif dan frasa kerja sekiranya maksud ayat itu menekankan perbuatan/sifat pertentangan secara jelas.

Contoh ayat:
Abang bukan membaca buku, tetapi berbual-bual dengan kawannya.
Pak Mat bukan kaya sangat, terapi pemurah orangnya.
Rahmat bukan bodoh, tetapi dia lambat memahami pelajaran.

Kesalahan ayat:

Kucing itu tidak kucing yang mencakar Ahmad.(SALAH)
Kucing itu bukan kucing yang mencakar Ahmad.(BETUL)

Kerbau itu bukan melawan apabila ditarik hidungnya.(SALAH)
Kerbau itu tidak melawan apabila ditarik hidungnya. (BETUL)


Kata Pembenar

Kata pembenar ialah perkataan yang mengesahkan sesuatu pernyataan.

Contoh:

Ya
Benar
Betul

Contoh ayat:

Ya, dialah suaminya.
Benar, itulah pengetua sekolah yang baharu.
Betul, merekalah penjaga bangunan itu.

Kata Pangkal Ayat

Kata pangkal ayat ialah perkataan yang hadir di bahagian hadapan ayat. Perkataan ini biasa digunakan dalam bahasa Melayu lama/klasik.

Contoh:

Hatta        : ...hingga/maka.
Maka        : ...seterusnya.
Syahadan : ...adapun setelah itu.
Adapun     : ...sebenarnya.
Kalakian   : ...seterusnya.
Sebermula: ...setelah itu.
Alkisah     : ...kemudian cerita seterusnya.
Arakian    : ...akhirnya.

Contoh ayat: (dipetik daripada Tatabahasa Dewan Edisi ketiga)

Hatta istana itu pun siaplah.
Maka panglima itu pun diberi persalinan.
Syahadan baginda pun berangkatlah meninggalkan Melaka.
Adapun kuda itu dipunyai oleh Tun Omar.
Alkisah tidak beberapa lama kemudian hamillah permaisuri.
Kalakian berlakulah permusuhan antara kedua-dua kerajaan.
Sebermula berburulah baginda bersama-sama hulubalangnya
Arakian bersemayamlah baginda di istana baru.

Kata Perintah

Kata perintah ialah kata yang digunakan untuk memberikan sesuatu perintah, arahan, larangan, silaan atau permintaan.

Contoh: 

Jangan  : Menyatakan maksud larangan atau tidak boleh melakukan sesuatu.
Harap   : Menyatakan maksud keinginan mendapatkan sesuatu atau meminta dilakukan sesuatu.
Jemput  : Menyatakan maksud mengajak atau mengundang.
Minta    : Menyatakan maksud ingin akan sesuatu.
Sila       : Meminta seseorang melakukan sesuatu dengan cara hormat/beradab.
Tolong  : Menyatakan maksud meminta pertolongan atau bantuan, atau minta melakukan sesuatu untuknya.
Usah     : Menyatakan maksud larangan atau tegahan daripada melakukan sesuatu.

Nota:
Dalam penulisan atau pembinaan ayat, elak menggunakan dua kata perintah dalam satu ayat.

Contoh ayat:

"Tolong jangan sentuh barang-barang di atas meja ini, " kata Cikgu Ali.(SALAH)
"Jangan sentuh barang-barang di atas meja ini, " kata Cikgu Ali. (BETUL)

"Harap jangan ulangi kesilapan lalu," kata Aini kepada anaknya. (SALAH)
"Jangan ulangi kesilapan lalu," kata Aini kepada anaknya.(BETUL)

Kata Tanya

Kata tanya digunakan untuk menanyakan perihal sesuatu seperti orang, haiwan, benda, masa, tempat, bilangan, hal atau perkara.      

Contoh:

Apa       : Menanyakan binatang, hal, perkara, benda dan perkara abstrak.
Adakah : Menanyakan soalan yang perlu dijawab 'ya' atau 'tidak'
Bagaimana : Menanyakan cara dan keadaan.
Berapa : Menanyakan jumlah, bilangan atau harga.
Bila      : Menanyakan masa atau waktu
Kenapa : Menanyakan sebab atau alasan
Mengapa : Menanyakan sebab atau alasan
Mana    : Menanyakan tempat, benda atau orang.
Siapa    : Menanyakan orang atau manusia.

Nota:
1. Kata tanya pada awal ayat mesti disertakan partikel '-kah.'
2. Kata tanya pada akhir ayat tidak perlu diletakkan '-kah.'
3. Kata tanya mesti diakhiri dengan tanda tanya '?'
4. Kata tanya tidak boleh menggantikan kata ganti nama tak tentu.

Contoh ayat:
Siapa nama guru kelas kamu? (SALAH)
Siapakah nama guru kelas kamu? (BETUL)

Dia pandaikah?(SALAH)
Pandaikah dia? (BETUL)

Suami Ani itukah? (SALAH)
Itukah suami Ani?(BETUL)

Kedai itu terbakarkah? (SALAH)
Kedai itu terbakar? (BETUL)

Mary ke pekan dengan siapakah? (SALAH)
Mary ke pekan dengan siapa? (BETUL)

Saya tidak pergi ke mana semalam. (SALAH)
Saya tidak pergi ke mana-mana semalam. (BETUL)

Kapal terbang akan mendarat pada bila masa sahaja.(SALAH)
Kapal terbang akan mendarat pada bila-bila masa sahaja. (BETUL)

Dia membeli apa sahaja yang diminatinya. (SALAH)
Dia membeli apa-apa sahaja yang diminatinya. (BETUL)