Rabu, 30 September 2015

Pedalaman dan Pendalaman

Pedalaman
- Kawasan yang terpencil atau daerah yang jauh dari perhubungan dan kemudahan.

Pendalaman
- Berusaha mendalami(memahami) atau perbuatan mendalamkan sesuatu(menggali).

Kesalahan:
Walaupun kedua-dua kata berasal daripada kata dasar yang sama iaitu dalam, namun apabila ditambah dengan imbuhan ia membawa makna yang berbeza.

Contoh:

Kawasan pendalaman Sabah tiada bekalan elektrik.(TIDAK TEPAT)
Kawasan pedalaman Sabah tiada bekalan elektrik.(TEPAT)

Pedalaman dasar Sungai Perak perlu dilaksanakan untuk mengatasi masalah banjir.(TIDAK TEPAT)
Pendalaman dasar Sungai Perak perlu dilaksanakan untuk mengatasi masalah banjir.(TEPAT)

Seloroh dan Seluruh

Seloroh
- Senda gurau,lelucon, jenaka atau kelakar.

Seluruh
- Semua atau segenap.

Kesalahan:
Kesalahan penggunaan kata berlaku kerana bunyi sebutan yang hampir sama.

Contoh:

Gosip hangat tentang artis itu tersebar ke seloroh negara.(TIDAK TEPAT)
Gosip hangat tentang artis itu tersebar ke seluruh negara.(TEPAT)

Sketsa yang penuh dengan aksi seluruh itu mencuit hati penonton.(TIDAK TEPAT)
Sketsa yang penuh dengan aksi seloroh itu mencuit hati penonton.(TEPAT)

Rasmi dan Resmi

Rasmi
- Sesuatu yang telah disahkan oleh pihak yang bertanggungjawab/tertentu. Kata dapat dibentuk menjadi kata kerja merasmikan dan kata nama perasmian.

Resmi
- Sifat asal bagi sesuatu atau seseorang.Kebiasaan atau sifat semulajadi manusia atau haiwan.

Kesalahan:
Kesalahan berlaku kerana bunyi sebutan hampir sama.

Contoh:

Kegiatan memasak secara bergotong-royong sudah menjadi rasmi penduduk taman ini.(TIDAK TEPAT)
Kegiatan memasak secara bergotong-royong sudah menjadi resmi penduduk taman ini.(TEPAT)

Baju Melayu ialah pakaian resmi majlis makan malam itu.(TIDAK TEPAT).
Baju Melayu ialah pakaian rasmi majlis makan malam itu.(TEPAT).

Sudah menjadi rasmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung.(TIDAK TEPAT).
Sudah menjadi resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung.(TEPAT).



Agen dan Ejen

Agen
- Sesuatu bahan/unsur/benda yang menyebabkan berlakunya tindakbalas/proses.

Ejen
- Orang atau syarikat yang menjalankan perniagaan untuk orang lain.
- Wakil penjual
- Orang yang diupah untuk melakukan sesuatu untuk orang lain.

Kesalahan:
Kesalahan penggunaan kata berlaku kerana bunyi sebutan yang hampir sama walaupun ejaannya berbeza.

Contoh:

Barang-barang kosmetik yang dibeli daripada agen tentu lebih murah.(TIDAK TEPAT)
Barang-barang kosmetik yang dibeli daripada ejen tentu lebih murah.(TEPAT)

Lebah ialah ejen pendebungaan untuk bunga Ros.(TIDAK TEPAT)
Lebah ialah agen pendebungaan untuk bunga Ros.(TEPAT)

Colek dan Culik

Colek
1.Menyentuh sesuatu benda dengan hujung jari. Mencecah makanan pada kuah.
2. Menghasut, menaikkan darah atau menimbulkan kemarahan.
3.Sambal yang cair. Buah-buahan yang dicecah dengan pencecah.

Culik
1. Mencuri atau melarikan atau menangkap kanak-kanak atau orang dewasa untuk dibunuh atau diminta wang tebusan.

Kesalahan:
Kesalahan berlaku kerana bunyi sebutan yang sama namun ejaan perkataan adalah berbeza.

Contoh:

Anak Tan Sri Ahmad dicolek oleh sekumpulan penjenayah.(TIDAK TEPAT)
Anak Tan Sri Ahmad diculik oleh sekumpulan penjenayah.(TEPAT)

Lina menculik cat dinding yang masih basah itu.(TIDAK TEPAT)
Lina mencolek cat dinding yang masih basah itu.(TEPAT)

Sambal culik Mak Tam sangat sedap.(TIDAK TEPAT)
Sambal colek Mak Tam sangat sedap.(TEPAT)


Makam dan Maqam

Makam
- Tempat kediaman atau bersemayam(digunakan dalam konteks raja). Kubur untuk orang yang dihormati seperti nabi, para wali, keluarga diraja.

Maqam
- Kedudukan iaitu tingkat, darjat atau taraf yang tinggi atau mulia di sisi Allah (perkataan ini berasal daripada bahasa Arab).

Kesalahan:
Kesalahan penggunaan berlaku kerana bunyi sebutan yang sama tetapi berlainan ejaan.

Contoh:

Semoga Allah akan mengangkat kamu ke makam yang terpuji.(TIDAK TEPAT)
Semoga Allah akan mengangkat kamu ke maqam yang terpuji.(TEPAT)

Maqam Sultan Azlan Shah terletak di perkarangan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. (TIDAK TEPAT)
Makam Sultan Azlan Shah terletak di perkarangan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. (TEPAT)

Maka baginda pun berangkatlah sehingga sampai ke suatu maqam bernama Seri Menanti.(TIDAK TEPAT)
Maka baginda pun berangkatlah sehingga sampai ke suatu makam bernama Seri Menanti.(TEPAT)

 

Agong dan Agung

Agong
- Gelaran untuk Ketua Negara Malaysia iaitu Yang di-Pertuan Agong.


Agung
- Bererti besar, terutama, yang tertinggi, teristimewa,terkemuka,mulia. Bererti terbuka dapat dihadiri oleh semua ahli(apabila digunakan dalam konteks mesyuarat).

Kesalahan:
Kesalahan berlaku kerana sebutan yang sama bunyinya tetapi berbeza dari segi ejaannya.

Contoh:

Sultan Mizan Zainal Abidin ialah Yang di-Pertuan Agung yang ke tiga belas. (TIDAK TEPAT)
Sultan Mizan Zainal Abidin ialah Yang di-Pertuan Agong yang ke tiga belas. (TEPAT)

Allahyarham P. Ramlee ialah seniman agong Malaysia.(TIDAK TEPAT).
Allahyarham P. Ramlee ialah seniman agung Malaysia.(TEPAT)

Mesyuarat Agong Tahunan Koperasi UIA itu akan diadakan pada bulan Jun.(TIDAK TEPAT).
Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi UIA itu akan diadakan pada bulan Jun.(TEPAT)

Tenong dan Tenung

Tenong
- Bakul yang bundar bentuknya dan tertutup tempat untuk menyimpan makanan atau mangkuk tingkat untuk mengisi makanan.

Tenung
- Ilmu untuk mengetahui sesuatu yang akan terjadi pada masa akan datang, menilik nasib,nujum, ramal, menelaah.

Kesalahan:
Kesalahan berlaku kerana bunyi sebutan yang hampir sama walaupun ejaannya berbeza.

Contoh:

Halimah membawa tenung yang berisi makanan sebagai bekal untuk Pak Ali.(TIDAK TEPAT).
Halimah membawa tenong yang berisi makanan sebagai bekal untuk Pak Ali.(TEPAT).

Nujum Pak Belalang ialah seorang tukang tenong yang terkenal di kampung itu.(TIDAK TEPAT)
Nujum Pak Belalang ialah seorang tukang tenung yang terkenal di kampung itu.(TEPAT)

Telor dan Telur

Telor
- Bererti pelat atau tidak dapat mengucapkan kata-kata dengan sebutan yang betul, terang atau jelas.

Telur
- Benda yang mengandungi lembaga anak haiwan yang umumnya bersalutkan kulit yang keras. Haiwan dalam kategori burung, reptilia, ikan dsb.

Kesalahan:
Kesalahan berlaku kerana bunyi sebutan yang hampir sama walaupun ejaannya adalah berbeza.

Contoh: 

Ada sepuluh biji telor ayam di dalam bakul itu.(TIDAK TEPAT)
Ada sepuluh biji telur ayam di dalam bakul itu.(TEPAT)

Apabila mendengar telur percakapan gadis itu, saya agak dia berasal dari Perancis.(TIDAK TEPAT)
Apabila mendengar telor percakapan gadis itu, saya agak dia berasal dari Perancis.(TEPAT)

Selasa, 29 September 2015

Tembok dan Tembuk

Tembok

- Bererti dinding atau benteng.

Tembuk

- Bererti tembus atau berlubang.

Kesalahan:
Kesalahan berlaku kerana bunyi sebutan yang hampir sama walaupun dieja berbeza.

Contoh:

Penduduk pantai itu membina tembuk batu untuk menahan hakisan.(TIDAK TEPAT)
Penduduk pantai itu membina tembok batu untuk menahan hakisan.(TEPAT)

Beberapa biji durian yang gugur itu sudah tembok kerana dimakan tupai.(TIDAK TEPAT)
Beberapa biji durian yang gugur itu sudah tembuk kerana dimakan tupai.(TEPAT)

Tempoh dan Tempuh

Tempoh

- Bererti jangka waktu atau waktu untuk bertangguh.

Tempuh

- Bererti menyerbu,melanggar,mengalami,melalui, mengharung.Biasanya digunakan sebagai menempuh.

Kesalahan:
Kesalahan berlaku kerana bunyi sebutan hampir sama walaupun ejaan berlainan.

Contoh:

Para peserta dikehendaki menghabiskan larian itu dalam tempuh 90 minit.(TIDAK TEPAT)
Para peserta dikehendaki menghabiskan larian itu dalam tempoh 90 minit.(TEPAT)

Semasa mendaki gunung itu, pelbagai halangan terpaksa kami tempoh.(TIDAK TEPAT)
Semasa mendaki gunung itu, pelbagai halangan terpaksa kami tempuh.(TEPAT)

Tepok dan Tepuk

Tepok

- Bererti lumpuh pada bahagian tangan atau kaki oleh sebab sesuatu penyakit.

Tepuk

- Bererti perbuatan menampar kedua-dua tapak tangan supaya berbunyi. Kata ini boleh dibentuk menjadi kata kerja bertepuk dan menepuk serta kata nama tepukan.

Kesalahan:
Kesalahan berlaku kerana sebutan yang hampir sama walaupun ejaannya berlainan.

Contoh:

Walaupun Ahmad tepuk, namun dia berusaha untuk berdikari.(TIDAK TEPAT)
Walaupun Ahmad tepok, namun dia berusaha untuk berdikari.(TEPAT)

Murid-murid itu menari sambil bertepok tangan gembira.(TIDAK TEPAT)
Murid-murid itu menari sambil bertepuk tangan gembira.(TEPAT)

Selasa, 22 September 2015

Jemput dan Undang

Jemput

- Bermakna pergi atau datang mengambil.


Undang

- Bermakna mengajak atau mempersilakan orang menghadiri majlis, perayaan, pertemuan, dan sebagainya.

Contoh:

Aminah ke lapangan terbang untuk mengundang anaknya yang baru tiba dari Jepun. (TIDAK TEPAT)
Aminah ke lapangan terbang untuk menjemput anaknya yang baru tiba dari Jepun. (TEPAT)

Beberapa orang kenamaan turut saya jemput ke majlis perkahwainan anak saya.(TIDAK TEPAT)
Beberapa orang kenamaan turut saya undang ke majlis perkahwainan anak saya.(TEPAT)

Puan Aishah telah mengedarkan kad jemputan majlis perkahwinan anak bongsunya kepada kenalannya.(TIDAK TEPAT)
Puan Aishah telah mengedarkan kad undangan majlis perkahwinan anak bongsunya kepada kenalannya.(TEPAT)


Khamis, 17 September 2015

Cocok dan Cucuk

Cocok

- Kata cocok bermakna sepadan, sama benar, betul, tepat, sesuai dan serasi.

Cucuk

- Kata cucuk bermakna sesuatu benda yang runcing dan tajam yang digunakan untuk menikam atau untuk menyemat.

Kesalahan tatabahasa:

Kedua-dua kata sering disalahgunakan kerana sebutannya hampir sama.

Contoh:

Maria memakaikan pengantin itu cocok sanggul yang cantik.(TIDAK TEPAT)
Maria memakaikan pengantin itu cucuk sanggul yang cantik.(TEPAT)

Ravi menolak tawaran kerja itu kerana tidak cucuk dengan kelulusannya.(TIDAK TEPAT).
Ravi menolak tawaran kerja itu kerana tidak cocok dengan kelulusannya.(TEPAT).

Pak Abu bercocok tanam di laman rumahnya.(TIDAK TEPAT)
Pak Abu bercucuk tanam di laman rumahnya.(TEPAT)

Bena dan Bina

Bena

- Kata bena bermakna peduli atau acuh. Makna lain ialah sejenis serangga perosak makanan.

Bina

- Kata bina bermakna membangunkan atau mendirikan.

Kesalahan tatabahasa:

Kata bena dan bina sering disalahgunakan kerana hampir sama sebutannya.

Contoh:

Pembenaan lebuhraya ketiga itu menelan belanja yang tinggi.(TIDAK TEPAT)
Pembinaan lebuhraya ketiga itu menelan belanja yang tinggi.(TEPAT)

Jangan kamu bersikap bina tak bina terhadap ibu bapa sendiri.(TIDAK TEPAT)
Jangan kamu bersikap bena tak bena terhadap ibu bapa sendiri.(TEPAT)

Belok dan Blok

Belok

- Kata belok bermakna mengubah arah/haluan sesuatu.

Blok

- Kata blok berasal daripada perkataan 'block' dalam bahasa Inggeris. Ia bermakna sekumpulan sesuatu benda/negara/bangunanan seperti deretan rumah yang tidak berpisah-pisah ataupun persatuan beberapa buah negara.

Kesalahan tatabahasa:

Kata belok dan blok sering digunakan dengan salah kerana bentuk kata seakan-akan sama walaupun bunyinya berbeza.

Contoh:

Dua belok rumah teres telah siap dibina di kawasan itu. (TIDAK TEPAT)
Dua blok rumah teres telah siap dibina di kawasan itu.(TEPAT)

Negara-negara belok Amerika Selatan bersetuju dengan kerjasama ketenteraan itu. (TIDAK TEPAT)
Negara-negara blok Amerika Selatan bersetuju dengan kerjasama ketenteraan itu. (TEPAT)

Ramai dan Banyak

Ramai

- Kata ramai berkaitan dengan suasana riuh-rendah, hiruk-pikuk, riang gembira, sangat meriah, sibuk, tidak sunyi, banyak penghuninya, banyak, umum, pendapat umum, suara majoriti/umum.

Banyak

- Kata banyak adalah berkenaan jumlah atau bilangan, sama ada manusia, benda atau binatang.

Kesalahan tatabahasa:

Kesalahan berlaku apabila kata banyak diganti dengan kata ramai.

Contoh:

Ramai tetamu yang hadir ke majlis rumah terbuka menteri itu. (TIDAK TEPAT)
Banyak tetamu yang hadir ke majlis rumah terbuka menteri itu. (TEPAT)

Artis yang terkenal itu mempunyai peminat yang ramai. (TIDAK TEPAT)
Artis yang terkenal itu mempunyai peminat yang banyak.(TEPAT)

Tidak ramai orang datang ke Pesta Floria tempoh hari.(TIDAK TEPAT)
Tidak banyak orang datang ke Pesta Floria tempoh hari (TEPAT)

Orang bermain terlalu ramai, bunyi sorak seperti akan sampai ke langit. (TEPAT)

Sesudah meleset beberapa tahun, pasaran timah ramai kembali.(TEPAT)

Suara ramai.(TEPAT)

Kemahuan ramai.(TEPAT)




Rabu, 16 September 2015

Bila dan Apabila

Apabila

- Kata apabila adalah kata hubung.
- Bererti pada ketika, semasa, sewaktu, bilamana, apakala.

Bila

- Kata bila adalah kata keterangan tanya yang digunakan untuk menanyakan waktu (masa,ketika)

Bila-bila
- Kata bila-bila digunakan untuk menerangkan sebarang masa ataupun waktu.


Kesalahan tatabahasa:

Kesalahan berlaku apabila kata bila digunakan sebagai kata hubung.

Contoh:

Bila waktu subuh langit bertukar warna kuning keemasan. (TIDAK TEPAT)
Apabila waktu subuh langit bertukar warna kuning keemasan.(TEPAT)

Plastik itu menjadi cair bila dipanaskan. (TIDAK TEPAT)
Plastik itu menjadi cair apabila dipanaskan.(TEPAT)

Bila awak hendak ke Pulau Pinang? (TEPAT)
Kalau begini sampai bila pun, kita tidak akan pindah. (TEPAT)
Bila-bila sahaja hari akan hujan. (TEPAT)

Siapa dan Apa

Siapa?

- Digunakan untuk menanyakan nama orang dan orang.

Apa?

- Digunakan untuk menanyakan sesuatu benda,hal,kejadian,keadaan dan binatang.

Kesalahan tatabahasa:

Kesalahan berlaku apabila kata apa digunakan untuk bertanya berkenaan manusia dan kata siapa digunakan untuk bertanya hal yang sebaliknya.

Contoh:

Apakah nama budak lelaki itu? (TIDAK TEPAT)
Siapakah nama budak lelaki itu? (TEPAT)

Nama arnab peliharaan kamu itu siapa, Sofia? (TIDAK TEPAT)
Nama arnab peiharaan kamu itu apa, Sofia? (TEPAT)

 

Selasa, 15 September 2015

Adakah dan Apakah

Adakah?

- Kata adakah digunakan untuk jawapan 'ya' atau 'tidak'.

Apakah?

- Kata apakah digunakan bagi mendapat jawapan untuk nama benda, keterangan berkenaan sesuatu perkara dan nama binatang.

Kesalahan tatabahasa:

Kesalahan berlaku apabila apakah digunakan pada tempat adakah

Contoh:

Apakah kamu yakin Halimah tidak datang? (TIDAK TEPAT)
Adakah kamu yakin Halimah tidak datang? (TEPAT)

Adakah nama budak itu?(TIDAK TEPAT)
Apakah nama budak itu? (TEPAT)

Apakah Lina sedar bahawa perkara itu tidak betul? (TIDAK TEPAT)
Adakah Lina sedar bahawa perkara itu tidak betul? (TEPAT)

Khamis, 10 September 2015

Kesalahan tatabahasa dalam membina ayat

Kesalahan-kesalahan yang biasa ditemui adalah kesalahan:


1. Ejaan.

2. Penggunaan kata

3. Pengimbuhan.

4. Pemajmukan.

5. Struktur ayat.

6. Ayat yang gramatis tetapi maknanya tidak tepat.

7. Mengubah bentuk kata dengan pengimbuhan,penggandaan dsb.

8. Tidak mengikut peraturan atau arahan soalan.




Kesalahan tatabahasa - perbendaharaan kata

Kesalahan perbendaharaan kata:

1. Kesalahan ejaan, kerana dalam bahasa Melayu ada perkataan yang hampir sama ejaan tetapi mempunyai makna yang berlainan.


2. Ada sesetengah jenis perkataan yang sesuai dan tepat digunakan dalam konteks ayat yang tertentu, iaitu berdasarkan makna ayat itu.


Contoh :

Adakah dan Apakah
Apa dan Siapa
Apabila dan Bila
Banyak dan Ramai
Belok dan Blok
Bena dan Bina
Bukan dan Tidak
Cocok dan Cucuk
Golong dan Gulung
Jemput dan Undang
Lancong dan Lencong
Tepok dan Tepuk
Tembok dan Tembuk
Tempoh dan Tempuh
Telor dan Telur
Seloroh dan Seluruh
Rasmi dan Resmi
Pendapat dan Pendapatan
Mengindahkan dan Mengendahkan
Pendalaman dan Pedalaman